Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 petang itu, murid tahun satu, Raja Nur Nazwa Ariana Raja Mohd. Shahronizam, 7, difahamkan sedang bermain dengan beberapa rakannya pada waktu rehat sebelum dipercayai terjatuh ke dalam satu daripada empat lubang najis kumbahan sedalam kira-kira 3.6 meter.

Difahamkan, mangsa terjatuh bersama seorang lagi kanak-kanak lelaki, tetapi rakan lelakinya yang juga berusia tujuh tahun sempat berpaut pada batang paip di dalam lubang kumbahan berkenaan.



Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Merlimau, Penguasa Bomba Masri Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 4.53 petang mengenai kejadian itu bergegas ke lokasi tersebut dan tiba kira-kira pukul 5.11 petang bersama lapan anggota dan sebuah jentera.

“Terdapat empat lubang kumbahan terbuka yang dihubungkan dalam satu tangki besar yang dipenuhi air sedalam kira-kira 12 kaki (3.6 meter).

“Sebaik sahaja operasi menyedut air dilakukan, anggota bomba mula memasuki ke dalam tangki sebelum menemukan mang­sa dalam tempoh kurang seminit.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan Klinik Kesihatan Merlimau dan dibawa ke Hospital Muar untuk bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Da­erah, Deputi Superintenden Sampornak Ismail ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Muar untuk dibedah siasat. -Utusan Online