Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa dikenal pasti sebagai Saruji Arip, 42, isterinya, Syaidatul Farhanah Md. Yusof, 29 dan anak mereka, Muhammad Nur Haqinie Muhammad Zaqri Zairy, 3.

Menurut abang mangsa, Mo­ha­mad Arip, 45, dia mendapat panggilan daripada rakan sepejabat adik lelakinya di Jabatan Imigresen Cawangan Kota Samarahan dan iparnya Jabatan Pendaftaran Negara Cawangan Kota Samarahan memberitahu mereka berdua tidak ke pejabat meskipun tidak mengambil cuti lalu memin­tanya untuk datang ke rumah adiknya.








Katanya, dia cuba menghubungi adiknya namun tiada jawapan lalu membuat laporan polis dan kira-kira pukul 12.15 tengah hari de­ngan ditemani abang ipar dan dua anggota polis memecah masuk ke dalam rumah adiknya.

“Ketika sudah masuk ke dalam rumah itu, tercium bau hangus namun keadaan di dalam rumah tiada kesan kebakaran.
“Bagaimanapun apabila membuka bilik paling hujung melihat keadaan hitam dan menemukan adiknya di atas katil manakala isteri dan anaknya di bawah katil dalam keadaan rentung dengan tilam yang hampir hangus dan barang lain ada yang tidak hangus sepenuhnya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Mengulas lanjut, katanya, kali terakhir dia berhubung de­ngan adiknya pada malam Sabtu kira-kira pukul 8 memaklumkan rumahnya di Kampung Temenggung dinaiki air dan menyatakan akan pergi melihat keesokan harinya namun tidak muncul semalam.

“Tidak sangka perkara sebegini terjadi, jenazah adik akan disempurnakan di sini dan jenazah isteri dan anaknya pula akan dibawa ke Negeri Sembilan seperti diminta waris keluarga,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Lee Chong Chern berkata, hasil siasatan awal mendapati tiada elemen jenayah ditemukan dan tiada sebarang senjata atau minuman racun dijumpai di tempat kejadian.
“Dipercayai kemungkinan besar adalah bunuh diri, bagaimanapun faktor dan kemungkinan lain juga akan dikaji serta mayat dijangka dibedah siasat petang hari ini,” jelasnya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ne­geri, Nor Hisham Mohammad pula berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.32 tengah hari.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, ketiga-tiga mangsa sudah rentung dengan kira-kira 90 peratus tubuh badan mereka terbakar,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE