KUALA LUMPUR : Sepasang suami isteri bimbang keadaan anak perempuan mereka berusia 13 tahun yang tidak dapat dijejaki sejak lebih tiga minggu lalu, dipercayai dilarikan oleh seorang lelaki yang juga jurulatih sebuah persatuan silat disertai remaja berkenaan.
Mohd Rizal Johari, 40, berkata, dia menyedari ketiadaan anaknya, Sufi Arifah pada jam 4 pagi, 13 Disember lalu, apabila menemui surat ditinggalkan Sufi di bilik tidur.
Bagaimanapun katanya, dia percaya, tindakan Sufi itu kerana mendapat tekanan daripada lelaki tidak bertanggungjawab itu berdasarkan pengakuan seorang lagi lelaki yang bertindak membawa anaknya untuk diserahkan kepada jurulatih silat berkenaan.
“Lelaki yang bawa Sufi itu adalah orang kanan jurulatih silat itu dan setelah dipujuk, dia mengakui kehilangan Sufi adalah dirancang kerana mahu menutup kes jenayah yang pernah dibuat terhadap anak saya sebelum ini.
“Sekarang ini kami tidak tahu apa nasib Sufi kerana jurulatih silat berkenaan gagal dihubungi dan dijejaki,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui, di sini.
Mohd Rizal menambah, pendengaran kes jenayah yang dilakukan jurulatih silat berkenaan dijadualkan berlangsung pada 11 Januari ini.
“Sebelum ini, suspek telah ditahan pihak polis namun dijamin keluar oleh ahli keluarganya. Suspek tidak sepatutnya mendekati Sufi kerana itu dia gunakan orang kanannya untuk bersubahat.
“Saya percaya Sufi telah dipengaruhi atau kemungkinan diugut,” katanya.
Dalam pada itu, ibu mangsa, Ismalia Ismaon, 34, berkata, Sufi yang juga anak kedua daripada tujuh beradik itu sebelum ini tidak pernah menghadapi masalah dalam keluarga.
Katanya, mereka tidak menghalang penyertaan Sufi dalam pasukan silat olahraga itu setelah yakin dengan aktiviti yang dijalankan secara sah termasuk penganjuran beberapa pertandingan sebelum ini.
“Saya cuma mahu Sufi dikembalikan dengan selamat. Tidak tahu apa nasibnya sekarang. Walaupun kehilangannya telah tersebar, tiada sebarang perkembangan setakat ini,” katanya.
Berikutan kejadian itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Batu 14, Hulu Langat pada 13 Disember lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard ketika dihubungi mengesahkan kes itu.
“Kita sedang jejak suspek untuk bantu siasatan,” katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan