Kota Bharu: Keluarga kepada pemandu teksi yang mati ditikam petang semalam percaya mangsa tidak bermusuh dengan sesiapa dan mahu polis segera melakukan siasatan.
Anak mangsa, Mohd Nazri Hanafiah, 28, berkata, arwah hanya menjalani kehidupan seperti biasa dengan rutin harian sebagai pemandu teksi sejak 30 tahun lalu.
"Setahu saya, ayah saya tidak bermusuh dengan sesiapa. Tak dengar juga dia berselisih faham dengan sesiapa.
"Kami sekeluarga serah kepada pihak polis untuk menyiasat. Dalam hal ini, kita ada undang-undang dan tidak sepatutnya bertindak sedemikian," katanya.
Dia yang ditemui di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini memberitahu jenazah arwah akan dikebumikan di Pasir Puteh, hari ini.
Semalam, seorang pemandu teksi berusia 67 tahun maut dipercayai ditikam dengan senjata tajam oleh seorang lelaki di persimpangan lampu isyarat Jalan Pasir Mas-Salor dekat Kampung Pendek, di sini, antara 1 hingga 2.30 petang. -HM
0 ulasan:
Catat Ulasan