Kuala Lumpur: “Saya ‘takut’ untuk pakai kereta ini lama-lama sebab sentiasa teringat janji kepada pemilik Proton Iswara ini yang saya hanya meminjam dan akan memberikannya kepada orang yang lebih susah daripada saya apabila tiba waktunya.
“Sebab itu selalunya sambil bekerja, saya akan ‘merisik’ jika ada keluarga orang susah yang mungkin layak mendapatkan kereta ini sebagaimana saya menerimanya dahulu,” kata Ahmad Reza Samsuddin, 38 yang kisah keluarganya mendapat perhatian seluruh masyarakat negara ini Julai lalu apabila gambarnya menunggang motosikal sambil membonceng tiga anak lelakinya menjadi viral di media sosial.
Dia yang menetap di Pulau Pinang ketika dihubungi Harian Metro semalam berkata, dia masih menggunakan kereta Proton Iswara berkenaan untuk membawa ketiga-tiga anaknya, Rafael Haikal, 8; Rafique Danial, 5, dan Danish Bunyameen, 3, mengikutnya bekerja sebagai mekanik jalanan.
“Sejak menerima kereta ini Julai lalu, November lalu adalah kali pertama saya membawanya pulang ke Pulau Pinang itu pun disebabkan mahu meluangkan masa bersama anak-anak sempena cuti sekolah.
“Di Pulau Pinang, saya bawa mereka ikut mencari rezeki dari tengah hari sehinggalah tengah malam sambil but dipenuhi dengan peralatan untuk membaiki motosikal pelanggan,” katanya semalam.
Menurutnya, walaupun agak sukar kerana terpaksa membawa anak-anak sama bekerja, dia tidak mempunyai pilihan kerana mereka gembira mengikutnya bekerja walaupun hanya sekadar mengelilingi pulau mutiara itu.
“Lagipun, pengalaman lalu juga menjadikan saya serik untuk membonceng anak-anak menaiki motosikal lagi kerana takut orang ambil gambar dan jadikan viral lagi sedangkan sudah diberikan kereta.
“Namun saya bersyukur kerana walaupun memerlukan kos yang lebih tinggi menggunakan kereta untuk mencari rezeki berbanding motosikal sebelum ini, pendapatan tidak pernah terputus,” katanya.
Gambar Ahmad Reza yang juga seorang duda bersama tiga anaknya yang membonceng motosikal jenis Honda EX5 menjadi viral Julai lalu ketika mereka dalam perjalanan dari rumah ibu bapa Ahmad Reza di Salak Tinggi, Sepang ke rumah sewanya di Permatang Damar Laut, Batu Maung, Pulau Pinang sejauh hampir 400 kilometer. -HM
0 ulasan:
Catat Ulasan