Tanjung Malim : Ibu kepada lelaki yang mayatnya ditemukan tanpa kepala dalam sebuah longkang di Jalan Kampung Batu 4, Slim River dekat sini semalam kesal apabila anak kelima daripada sembilan beradik itu diperlakukan dengan kejam.
R. Perima, 75, berkata, dia masih mampu menerima hakikat sekiranya anaknya, K. Ganesan, 50, hanya dipukul namun bukannya dibunuh dengan cara memenggal kepala.
“Jika anak saya dipukul sahaja tidak mengapa, tetapi mengapa sampai mahu dibunuh? Ganesan bukannya berharta malah duit pun dia tiada.
“Jika boleh saya mahu jumpa dia (pembunuh). Saya mahu tanya kenapa dia pukul anak saya. Perbuatannya tidak baik kerana anak saya tidak mengganggu sesiapa pun,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Slim Indah, di sini hari ini.
Menurut Perima, anaknya itu yang baru dua bulan bekerja di kedai besi buruk di Slim River, mempunyai seorang isteri serta dua anak berusia 20 dan 22 tahun yang kini menetap di Raub, Pahang.
Katanya, dia jarang berjumpa dengan anaknya itu kerana mangsa lebih banyak menghabiskan masa di kedai tempatnya bekerja.
“Kali terakhir kami berjumpa dua bulan lalu dan saya pernah menyuruhnya pulang ke rumah, tetapi sehingga sambutan Deepavali baru-baru ini dia masih tidak pulang,” ujarnya.
Tambahnya, dia mengetahui mengenai kejadian yang menimpa anaknya itu selepas dimaklumkan pihak polis yang datang ke rumahnya pada pukul 5.30 pagi semalam.
“Saya terperanjat selepas mengetahui kejadian yang menimpa Ganesan dan segera ke hospital di Ipoh untuk melihat mayatnya.
“Bagaimanapun, sehingga kini saya masih belum berpeluang melihat jasad anak saya. Saya berharap pembunuh itu menerima hukuman setimpal,” katanya.-UTUSAN
0 ulasan:
Catat Ulasan