WAKTU pekerjaan seorang doktor memang tidak menentu lebih-lebih lagi bagi mereka yang berkhidmat di hospital besar dan ramai pesakit.
Mereka perlu sentiasa bersedia untuk on call kerana sudah begitu tuntutan kerja mereka.
Namun, hari ini berlaku satu insiden yang menyedihkan melibatkan pengamal perubatan yang berkhidmat di Hospital Sungai Buloh.
Menerusi perkongsian daripada laman mikro Twitter Dr Anwar Fazal, seorang doktor muda, Dr Afifah Mohd Ghazi maut selepas terlibat dalam kecelakaan jalan raya, awal pagi tadi.
Ketika kejadian, arwah yang baru 27 tahun dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya sebaik menamatkan shif kerjanya pada jam 3.30 pagi yang mana dia perlu memantau beberapa pesakit yang berada dalam keadaan kritikal.
Kereta Kelisa yang dinaiki Dr Afifah dikatakan melanggar pokok kira-kira tiga kilometer daripada kawasan hospital.
Akibat perlanggaran itu, Dr Afifah mengalami kecederaan parah di kepala dan dada selain kakinya tersepit pada papan pemuka kereta.
Sebaik mendapat berita mengenai kemalangan yang menimpa isterinya, suami Dr Afifah yang juga merupakan pegawai perubatan di hospital sama terus bergegas ke tempat kejadian dan setia bersama sehingga arwah menghembuskan nafas terakhirnya.
Menerusi post itu juga, arwah dipercayai terlalu penat dan besar kemungkinan terlelap ketika memandu.
Dalam perkongsian itu juga, mereka mengingatkan kepada semua pengamal perubatan agar berhenti sebentar daripada memandu sekiranya berasa letih dan penat selepas selesai menjalankan tugas.
Dr Afifah meninggalkan suaminya dan seorang anak berusia setahun.
Takziah diucapkan buat suami dan ahli keluarga Dr Afifah.
Semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan hamba-hambaNya yang beriman. InsyaAllah.
Memetik kata-kata seorang blogger popular, Syahril A.Kadir, “Allahuakbar hebatnya beliau. Inilah kisah perjuangan mereka yang bergelar doktor. Kita hanya pandai melabelkan mereka sebagai manusia yang bergaji besar, namun tahukah susah payah yang mereka tempuh…dari medical school lagi mereka berjuang dengan nota-nota dan latihan praktikal yang cukup mencabar…bila lulus pula, mereka terpaksa bekerja siang malam…jubah putih dan stetoskop di leher bukan lesen mengejar glamour…”
0 ulasan:
Catat Ulasan