PASIR MAS : Biarpun kelihatan tenang menjalani kehidupan seorang diri, namun raut wajah Ramlah Abdul Rashid, 64, dari Kampung Kelar di sini, jelas terlihat seolah-olah cuba menyembunyikan segala kepahitan yang ditanggung ketika ini.
Mana tidaknya, sebatang kara bukanlah semudah disangka, ditambah pula dengan keadaan kesihatan tidak mengizinkan akibat serangan angin ahmar sejak lapan tahun lalu amat menguji iman.
Namun, bagi warga emas ini, berat mana pun ujian itu dia tetap perlu gagahkan diri menghadapinya dan perkara itu sudah menjadi kebiasaan selepas kehilangan ibu tercinta, Siti Hawa Awang Teh enam tahun lalu.
Ramlah berkata, dia perlu meneruskan kehidupan secara bersendirian kerana hanya itulah pilihan terbaik yang ada ketika ini.
“Sejak arwah ibu meninggal dunia, makcik tinggal seorang diri di rumah ni... bila nak bergerak, makcik guna kerusi plastik untuk paut. Lagipun, makcik tak ada anak... makcik tak kahwin.
“Tipulah kalau makcik tak sunyi, tapi apa boleh buat, inilah yang ada untuk habiskan sisa-sisa hidup,” katanya sayu.
Begitu pun dia bersyukur kerana mempunyai jiran-jiran yang masih sudi membantu ketika ditimpa musibah atau memerlukan bantuan.
“Mujur ada jiran-jiran yang datang membantu menghulurkan bantuan, sedikit sebanyak dapatlah menggembirakan hati ini,” katanya.
Ramlah berkata, sejak diserang angin ahmar dia tidak lagi bekerja dan hanya bergantung pada wang bantuan yang disalurkan oleh kerajaan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan sebanyak RM120.
Katanya, bantuan JKM itu digunakan untuk menampung perbelanjaan hariannya bagi meneruskan hidup.
Menurutnya, wang sebanyak itu tidak mencukupi untuk digunakan sehingga dia kadang-kadang terpaksa mengikat perut.
“Pernah juga makcik putus bekalan makanan, mujur jiran datang membantu,” katanya.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, rumah Ramlah hampir 80 peratus rosak dan tidak dapat digunakan selepas bah kuning melanda kawasan berkenaan hujung 2014 lalu.
Ketika ini Ramlah mendiami ruang tamu di bahagian bawah rumah, namun setiap kali hujan lebat air akan bertakung dan melimpah masuk ke dalam.
Air yang melimpah masuk sehingga paras lutut. Keadaan itu menyebabkan dia terpaksa duduk di atas katil beberapa hari sambil menunggu air surut.-SINAR
0 ulasan:
Catat Ulasan