TAIPING : “Abah, rumah dah kemas, nampak cantik,” itu kata-kata akhir seorang remaja kepada ayahnya sebelum maut digilis treler dalam kemalangan di Kilometer 8.7 Jalan Pantai Remis-Taiping dekat Temerloh, semalam.
Bapa mangsa, Huri Ismail, 45, berkata, ketika kejadian, anak sulung dari tiga beradik itu baru sahaja pulang menghantar adiknya di Sekolah Kebangsaan (SK) Matang Raja sebelum mengisi minyak di kawasan berhampiran.
“Sebaik mendengar berita dia maut dalam kemalangan, lutut saya terus lemah dan hampir jatuh.
“Arwah memang rapat dengan saya dan dua lagi adiknya. Dialah tempat saya mengadu dan bila arwah dah tak ada saya rasa macam tak percaya,” katanya.
Ketika kejadian kira-kira jam 7.15 pagi itu, mangsa, Amir Husni, 18, terbabas selepas motosikal ditunggangi terlanggar serpihan kayu di atas jalan.
Keadaan itu menyebabkan mangsa terjatuh di tengah jalan sebelum dilanggar treler yang datang dari arah Pantai Remis.
Huri berkata, sejak akhir-akhir ini, arwah kelihatan tidak gembira ketika menjamah makanan kegemaran yang dimasak olehnya.
“Semalam (kelmarin) arwah ingin bermain dengan adiknya tetapi tidak sempat kerana adiknya tidur.
“Arwah juga ada memberitahu mahu memotong rambut untuk mencari pekerjaan bagi menampung perbelanjaan keluarga, namun hasratnya itu tidak kesampaian,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, treler yang dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun itu tidak sempat mengelak dan terus melanggar mangsa yang berada di tengah jalan.
“Mangsa cedera parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat.
“Sehingga kini siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi mengetahui punca kejadian,” katanya.-SINAR
0 ulasan:
Catat Ulasan