ROMPIN : Seorang pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di Felda Selancar, di sini maut dalam kemalangan selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori berhampiran simpang tiga Felda Selancar 4 sekitar jam 7.00 pagi tadi.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Nur Fatihah Mohamad Sani, 16, yang berasal dari Felda Selancar 4 dan sedang dalam perjalanan menuju ke sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perwira Jaya.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Seperintendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah, berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa tidak mempunyai lesen memandu dan tidak memakai topi keledar.
“Semasa mangsa sampai di tempat kejadian, sebuah lori datang dari arah pejabat Felda Selancar 9 dalam keadaan masuk ke simpang sebelah kanan lalu bertembung dengan sebelah kiri motosikal yang ditunggang mangsa.
“Mangsa yang cedera parah di bahagian kepala meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Al Fatihah..
0 ulasan:
Catat Ulasan