SHAH ALAM : Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan langgar lari membabitkan sebuah bas di Jalan Subang berdekatan lampu isyarat Pangsapuri Brunsfield di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, Mohamad Adam Alip, 24, yang menunggang motosikal bernombor pendaftaran JKE817 meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.
"Penunggang motosikal jenis Honda Wave itu dalam perjalanan ke tempat kerja melalui Jalan Subang dan apabila sampai di lampu isyarat Pangsapuri Brunsfield, mangsa telah dilanggar, digesel dan diseret oleh sebuah bas yang kemudian melarikan diri dari tempat kejadian," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Shafien berkata, mayat mangsa yang berasal dari Muar, Johor, dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, untuk dibedah siasat.
Beliau meminta orang ramai yang melihat kejadian itu supaya tampil bagi membantu siasatan Polis Trafik Shah Alam.
Polis juga sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup di sekitar tempat kejadian bagi membantu siasatan, katanya. - Bernama
0 ulasan:
Catat Ulasan