Bentong : “Sampai hati buat emak saya begini.” - Arita
Demikian luahan Arita Ibrahim, 45, yang tidak dapat menyembunyikan rasa sedih apabila ibunya, Bedah Said, 65, ditemukan mati dalam keadaan berlumuran darah di rumahnya di Felda Kemasul, di sini semalam.
Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, dia tidak menyangka ibunya menemui ajal dalam tempoh hanya seminggu selepas tinggal bersendirian di kampung.
Menurutnya, selepas ayahnya, Ibrahim Hashim meninggal dunia pada Mac lalu, ibunya jarang tinggal di rumahnya di tanah rancangan itu sebaliknya lebih banyak menghabiskan masa pergi ke rumah anak-anak dan kaum keluarga terdekat di Johor dan Lembah Klang.
“Setelah ayah meninggal dunia, arwah ibu tinggal bersama kami empat orang anaknya, saya menghantarnya pulang ke sini Selasa lalu dan sempat duduk bersamanya dua hari di kampung sebelum kembali ke kediaman saya di Nilai Khamis lalu.
“Saya tidak menyangka ibu akan meninggalkan kami dalam keadaan sebegini, saya tertanya-tanya siapa yang sanggup berbuat sedemikian, ibu saya bukan orang berduit, dia juga jarang keluar,” katanya sewaktu ditemui pemberita di pekarangan rumah pusaka ibunya di sini hari ini.
Bedah ditemukan terbaring di bahagian dapur oleh jirannya kira-kira pukul 7 pagi semalam yang curiga selepas melihat pintu pagar rumahnya terbuka.
Mangsa yang tinggal sendirian itu ditemukan dengan kesan kelar di bahagian muka dan kepala.
Arita berkata, dia memang ada meninggalkan pesan kepada jiran tetangga supaya datang menjenguk ibunya yang tinggal bersendirian.
“Saya fikir ada kemungkinan penjenayah yang menyebabkan kematian ibu adalah orang yang dikenali sebab ketika kejadian, ibu saya bertudung dan hanya mengenakan tudung di dalam rumah apabila ada orang datang.
“Selain itu, gelang tangan dan anting-anting ibu ditinggalkan pada tubuhnya dan tidak dilarikan. Saya percaya berlaku pergelutan kerana gelang tangan ibu tersangkut pada tudungnya.
“Berdasarkan penemuan pisau pemotong daging dan tukul di hujung kaki ibu, saya berharap pihak polis dapat mengesan dan menangkap segera suspek kerana kami sekeluarga memang hendak tahu siapa sebenarnya penjenayah itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintenden Mohammad Mansor Mohd. Noor berkata, kali terakhir mangsa dilihat jirannya ialah kira-kira pukul 5 petang Selasa lalu.
Katanya, berdasarkan post mortem oleh pasukan forensik, mangsa maut disebabkan pendarahan di kepala.
“Terdapat empat hirisan di muka dan lapan hirisan di kepala. Siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Kemasul kira-kira pukul 2.30 pagi semalam. -Utusan
0 ulasan:
Catat Ulasan