Sepasang suami isteri maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lagi kereta di Kilometer 13.5, Jalan Ipoh-Lumut, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah ACP Mohd Nasri Omar berkata dalam kejadian 12.15 tengah malam semalam (17 Julai), mangsa Sulaiman Isa, 60; dan isterinya Siti Nur Ibrahim, 49; maut di tempat kejadian.
Ketiga-tiga anaknya Hafizah, 20; Hasmira, 19; dan Muhamad Mizzuddin, 10; mengalami cedera parah.
“Pemandu sebuah lagi kereta G. Gobinathan, 28; dan rakannya, S. Ganapathy, 27; pula mengalami cedera parah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, kesemua mangsa kini dirawat di Hospital Batu Gajah manakala Gobinathan pula dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk mendapatkan rawatan.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Batu Gajah untuk bedah siasat,” katanya.
Mohd Nasri Omar berkata kereta yang dipandu Gobinathan dipercayai masuk ke laluan bertentangan selepas memotong sebuah kenderaan lain dan bertembung dengan kereta yang dipandu Sulaiman yang datang dari arah Ipoh menghala ke Parit.
“Akibat daripada pertembungan itu, Sulaiman dan isterinya meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah akibat tersepit manakala tiga anaknya yang duduk di bahagian penumpang belakang mengalami cedera parah.
“Gobinathan dan rakannya pula mengalami cedera parah akibat tersepit dan berjaya dikeluarkan anggota bomba,” katanya. – BERNAMA
0 ulasan:
Catat Ulasan