HARI raya Aidilfitri hanya muncul setahun sekali dan ia menjadi saat yang dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam untuk meraikan kejayaan menunaikan ibadah puasa selama sebulan.
Selain itu, hari raya juga merupakan satu anugerah Ilahi untuk hamba-Nya bermaafan-maafan, saling kunjung-mengunjung untuk mengeratkan silaturahim serta merapatkan hubungan keluarga serta sanak saudara.
Tapi biasalah, bagi kebanyakan remaja dan belia zaman kini, tabiat biasa yang dijalani setiap hari memang sukar dikikis, dan itu termasuk pada hari raya.
Apa-apapun, sempena hari raya kali ini, apa kata anda gunakannya secara bijak dan campakkan jauh-jauh sikap-sikap lama yang tak sepatutnya dilakukan. Jom kita baca beberapa perkara yang remaja dan belia patut elakkan ketika hari raya.
Pertama, pastinya tabiat liat bangun tidur patut dihakis. Yelah, kalau tak boleh buat pada setiap hari pun, sekurang-kurangnya pada hari raya anda bisa bangun dan bersiap untuk menunaikan solat sunat hari raya Aidilfitri.
Kedua, elakkanlah berdamping 24 jam dengan telefon bimbit. Kalau sekadar menggunakannya untuk mengambil gambar itu bolehlah, tetapi kalau asyik membuka Facebook, Twitter dan Instagram, rasanya tak patut. Apa salahnya gunakan kesempatan ini untuk membantu ibu di dapur atau berborak dengan ahli keluarga.
Selain itu, anda juga patut kurangkan menonton televisyen pada waktu raya walaupun semua tahu, rancangan-rancangan yang ditayangkan pada waktu itu adalah rancangan paling best sepanjang tahun!
Bagi sestengah individu pula, mereka lebih suka berkurung di dalam bilik dan buat hal sendiri atas alasan, malu! Jangan begitu, apa salahnya kalau gunakan kesempatan ini untuk merapatkan hubungan dengan sanak-saudara jauh yang bertandang, ataupun anda sendiri mengambil inisiatif mengunjungi mereka.
Pelik tapi benar, ada segelintir remaja zaman kini yang memilih hari raya untuk pergi menonton wayang. Dik, wayang tu tak ke mana pun. Tak kisahlah kalau ketika itu ia menayangkan filem-filem blokbuster sekalipun, tapi gunakanlah kesempatan itu untuk aktiviti yang lebih berfaedah.
Mungkin bagi sesetengah individu mengambil remeh soal ini, tapi cubalah ambil keberkatan hari raya ini dengan melawat tanah perkuburan ahli keluarga yang telah kembali ke rahmatullah.
Kesimpulannya, jadikanlah hari raya ini sebagai waktu bermakna dan bukanlah hari-hari yang biasa dilalui.
– MYNEWSHUB.CC
0 ulasan:
Catat Ulasan