Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Lazim berkata, suspek pertama, Mokbiey atau nama sebenarnya, Putri Nor Shasha Sharmila Zamri, berusia 20-an beralamat di Lot 3299, Pengkalan Baru, Beris Kubur Besar, Bachok.


Sementara itu, katanya, suspek kedua, Nija atau Nur Asniza Che Abdul Azizi, juga berusia 20-an dan berasal dari Kampung Budi, Tawang, Bachok.

“Polis percaya kedua-dua wanita ini masih bersembunyi di sekitar negeri ini. Kita mahu mereka berdua menyerah diri secepat mungkin bagi membantu siasatan.

“Kita juga meminta orang ramai yang mengenali dua wanita ini atau mengetahui lokasi mereka berasa supaya segera menyalurkan maklumat kepada polis,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Mazlan, kes tersebut secara keseluruhan telah selesai berikutan penahanan suspek utamanya namun pihak polis masih mengesan dua wanita berkenaan bagi melengkapkan kertas siasatan.

Suspek utama kes tersebut, Ika Ekora atau nama sebenar Nurul Atikah Hanafi, 27, didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu, 30 Oktober lalu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mencederakan mangsa dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan gadis itu.

Sementara itu, mengulas mengenai kes dera seorang wanita warga Thailand dan anaknya yang berusia dua tahun di Tanjung Chat, di sini Selasa lalu, Mazlan memberitahu, tempoh reman suspek akan tamat esok namun pihaknya akan memohon supaya tempoh tersebut dilanjutkan lagi.

“Suspek seorang lelaki berusia 32 tahun didapati mempunyai rekod jenayah. Dia baru keluar dari penjara pada Julai lalu kerana terlibat dalam kes samun,” katanya. -Utusan