Dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 pagi semalam, Che Hasnah Che Isa, 64, yang cedera parah di kepala dan badan meninggal du­nia ketika dirawat di Hospital Pasir Mas, pukul 7.50 malam.

Sementara itu, cucunya, Ros Alya Adriana Mohd. Fauzi, 6, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan untuk mendapat rawatan lanjut di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian pada pukul 10 malam.




Ibu kepada Ros Alya Adriana, Rosnawati Daud, 42, yang memandu kereta terbabit turut ce­dera dan dilaporkan masih dirawat di Hospital Pasir Mas manakala pemandu Ford Kuga serta tiga lagi penumpangnya hanya mengalami cedera ringan dan dirawat di hospital sama.

Difahamkan, kereta Proton Saga dipandu Rosnawati datang dari arah Batu Karang dan mahu keluar dari simpang manakala Ford Kuga dipandu seorang pemuda pula datang dari arah Rantau Panjang menuju ke Pasir Mas.

Kedua-dua kenderaan dikatakan bertembung dengan kuat di persimpangan tersebut menyebabkan bahagian depan Proton Saga remuk teruk manakala Ford Kuga terbabas ke bahu jalan dan merempuh papan tanda.

Rosnawati ketika ditemui berkata, ketika kejadian, mereka bertiga dari Kemahang menuju ke Kampung Bakat dan kejadian berlaku terlalu pantas tanpa dia sempat berbuat apa-apa.

“Sebelum menaiki kereta, ibu mentua saya tidak sabar mahu masuk ke dalam kereta dan berkali-kali kata jom pergi. Anak saya pula menjadi terlalu manja.

“Saya tidak sangka itu petanda saya akan kehilangan mereka berdua,” katanya.

Jenazah Che Hasnah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakat, pukul 11 pagi ini manakala Ros Alya Adriana selamat dikebumikan di lokasi sama pukul 2 petang hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Ibrahim Saad meminta saksi kejadian tampil di mana-mana balai polis atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pe­ngangkutan Jalan 1987.-Utusan Online