MARANG : Hari bermakna bertukar duka. Demikian menggambarkan situasi dialami seorang bapa yang baru menerima kelahiran pasangan kembar perempuan apabila isterinya meninggal dunia selepas 13 hari melahirkan cahaya mata kedua dan ketiga itu.
Zulfazli Jusoh, 33, menyifatkan, dia menempuh hari bersejarah yang diakhiri dengan kisah paling sedih dalam hidupnya kerana kehilangan isteri tercinta, Noraini Mamat, 29.
Zulfazli yang berasal dari Rhu Rendang dan tinggal menyewa di Kampung Surau Haji Yaakob, turut bersama arwah isterinya ketika Allahyarhamah melahirkan anak kembar perempuan pada 24 Disember lalu di Hospital Sultanah Nur Zahirah.
Menurutnya, Noraini koma selepas empat hari dibenarkan pulang ke rumah dan meninggal dunia pada 6 Januari lalu kerana mengalami masalah kesihatan, manakala pasangan kembar tersebut sihat tanpa sebarang masalah kesihatan.
Katanya, jenazah isterinya dibawa pulang ke Felda Jerangau, manakala kedua-dua puteri kembarnya yang diberi nama Nureen Adriana Nasuha dan Nureen Afrina Amani, kini di bawah jagaan keluarga mentua di Dungun.
“Walaupun sedih kerana kehilangan isteri, namun saya masih mampu tersenyum apabila melihat pasangan kembar ini. Saya akan jaga mereka walaupun ada pihak menawarkan diri mahu menjaga dan menjadi ibu susuan.
“Buat masa sekarang, saya terpaksa tinggalkan mereka bersama keluarga mentua di Felda Jerangau kerana menguruskan anak sulung berusia 5 tahun,” katanya ketika ditemui di Rhu Rendang, semalam.
Menurut Zulfazli, dia dan keluarga berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin mengenai nasibnya itu serta datang menziarahinya di rumah keluarga.
Katanya, dia berazam untuk menjadi ayah terbaik buat pasangan kembar tersebut.
“Susah senang saya akan menghadapinya bagi memastikan ketiga-tiga anak dapat menjalani kehidupan yang baik, khususnya pasangan kembar ini,” katanya yang kini menguruskan sebuah kedai makanan haiwan peliharaan di Surau Haji Yaacob.
Terdahulu, kisah suka-duka dialami Zulfazli turut mendapat perhatian Pemuda Umno Bahagian Marang yang menziarahinya di rumah keluarga di Rhu Rendang untuk melihat pasangan kembar tersebut.-SINAR
0 ulasan:
Catat Ulasan