Melaka : Seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun maut apabila kereta yang dinaikinya dihempap seorang lelaki yang dipercayai terjun dari tingkat 13 sebuah hotel di Jalan Parameswara di Banda Hilir di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa, Arfan Syazani Salahudin, 19, yang menaiki Perodua Viva baru tiba di tempat letak kereta hotel tersebut sebelum satu objek tiba-tiba terjatuh di atas keretanya di bahagian pemandu.
Akibatnya, bahagian bumbung kereta berkenaan kemik dan terkena mangsa yang juga merupakan pekerja sambilan di hotel tersebut.
Arfan Syazani yang cedera parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara lelaki berusia 43 tahun dari Bukit Katil di sini yang terjatuh di atas kereta mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan dan disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 3 petang.
Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah, lelaki berusia 43 tahun itu mendaftar masuk seorang diri di hotel berkenaan kira-kira pukul 9.40 pagi hari ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan iaitu membunuh diri bagi lelaki yang terjatuh dari bangunan manakala kes kematian remaja tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Sementara itu, ibu Arfan Syazani, Aslina Ansari, 43, ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Melaka memberitahu, anaknya yang sedang bercuti semester baru bekerja di hotel tersebut kira-kira dua minggu lalu.
“Sebelum pergi kerja hari ini dia sempat meminta bekal untuk ke tempat kerja walaupun biasanya dia tidak berbuat demikian,” katanya.
Namun jelasnya, dia tidak menyangka ia permintaan terakhir anak sulung daripada empat beradik itu.
“Apapun, saya dan keluarga reda dengan insiden berkenaan,” katanya.
Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Cina di sini hari ini. -UTUSAN
0 ulasan:
Catat Ulasan