Fara atau nama sebenarnya Noor Faralina Md. Yunus 25, berkata, kemalangan yang berlaku di Jalan Syed Putra itu menyebabkan keretanya mengalami kerosakan teruk dan dia turut memuat naik gambar kemalangan tersebut di laman Instagram miliknya.
Pelakon kontroversi itu yang terlibat dalam kemalangan jalan raya pada pukul 4 pagi tadi berada dalam keadaan sihat dan hanya mengalami kecederaan ringan sahaja.
“Saya dalam perjalanan pulang ke rumah di Setapak, selepas habis perbincangan tentang perniagaan dari Subang. Dalam perjalanan berhampiran Jalan Syed Putra, ada sebuah kereta dari belakang yang cara pemanduannya tidak betul, jadi saya cuba mengelak ke kiri.
“Malangnya sewaktu memulas stereng, saya terpulas kuat, itu yang sampai terlanggar pembahagi jalan. Walaupun kereta saya remuk teruk, saya tetap bersyukur kerana masih bernyawa. Saya tidak alami kecederaan teruk cuma sakit di bahagian dada kerana tersentak pada stereng. Waktu kejadian, saya seorang diri,” katanya ketika dihubungi Utusan Online.
Jelas Fara, dia juga bernasib baik kerana ada dua orang pengguna jalan raya yang sedia membantu dan dia kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.
“Sekarang ini saya berada di Balai Polis Trafik, Jalan Bandar untuk buat laporan. Saya keluar daripada hospital, lebih kurang pukul 7 pagi tadi,” katanya.
Fara yang pernah muncul dalam drama Projek Memikat Suami, Suamiku Encik Sotong, Cupcake Mama, Hanya Dengan Bismillah, Selipar Jepun Stiletto Merah dan Keranda Tok Wan Terbang, sebelum ini pernah dikaitkan dengan isu digoda pelakon Fizz Fairuz menerusi aplikasi WeChat. - UTUSAN ONLINE
0 ulasan:
Catat Ulasan