Kekecohan yang timbul baru-baru ini apabila pelakon Emma Maembong menampar muka pelakon Kamal Adli terjawab apabila ia sebenarnya ada kaitan dengan produk minuman terbaru F&N iaitu Est Cola.
Ia gimik bagi menarik perhatian ramai dan terbukti ia menjadi apabila ramai tertanya-tanya apa sudah berlaku hingga Kamal ditampar pelakon cantik itu. Berikutan insiden itu, timbul pelbagai spekulasi malah ada peminat menghentam pasangan ini.
Bertemu Kamal pada majlis pelancaran minuman Est Cola di Sri Pentas Bandar Utama baru-baru ini, pelakon drama Bio Nik itu berkata, semua itu adalah gimik yang dirancang F&N.
“Saya sedar ketika babak itu disiarkan di Melodi minggu lalu, keadaan menjadi kecoh dan ramai bertanya apakah punca sebenar saya ditampar.
“Sebagai pelakon yang dilantik menjadi jurucakap minuman ini saya hanya mengikut apa saja yang mereka rancang dan ia sudah tertulis dalam kontrak.
“Bagaimanapun, saya tidak rasa babak itu keterlaluan. Andai ada peminat tidak suka dan menuduh kami sengaja mencari publisiti murahan saya akur,” katanya.
Mengulas hubungannya dengan Emma, Kamal seperti biasa memberikan jawapan sama iaitu mereka hanya berkawan baik.
Meskipun sebelum ini Emma pernah memberikan kenyataan enggan digandingkan dengan Kamal, pelakon lelaki itu pula sebaliknya.
“Saya tiada masalah jika digandingkan dengan dengan Emma. Sebagai pelakon saya sentiasa profesional dan jika penerbit minta kami berlakon sama, saya OK,” katanya.
Sementara itu, Kamal turut melahirkan rasa kecewa apabila hasratnya untuk beraksi dalam filem Abang Long Fadil 2 tidak kesampaian.
Menurut Kamal, sejak dimaklumkan filem itu bakal menjalani penggambaran pada November ini, Kamal sudah melakukan pelbagai persiapan malah turut menolak tawaran lakonan lain.
“Apabila mendapat tahu mengenai perkara ini saya sangat kecewa. Lama saya menanti dan hanya menerima tawaran berlakon telefilem semata-mata untuk fokus dengan filem ini, tiba-tiba nama saya digugurkan.
“Saya difahamkan pelakon utamanya Zizan Razak yang tidak mahu saya digandingkan dengannya. Pada saya dia tidak profesional andai benar perkara itu berlaku.
“Cukuplah dengan apa yang saya lalui sepanjang berkawan dengan Emma, janganlah pula sampai periuk nasi saya diganggu,” katanya.
Kamal mengulas perkara itu selepas difahamkan Zizan mengeluarkan kenyataan di sebuah akhbar mingguan yang mendakwa enggan berlakon dengannya.
Pun begitu, pendedahan di akhbar berkenaan tidak mengiakan atau menafikan perkara berkenaan sebaliknya Zizan mengambil pendekatan berdiam diri.
.hmetro.
0 ulasan:
Catat Ulasan