Kuala Krai : "Mungkin rezeki ibu pergi dan meninggal dunia di Tanah Suci Makkah. Mayat Ibu akan disemadikan di sana (Makkah) dan arwah nenek juga turut dikebumikan di tempat sama sebelum ini" katanya.
Keluarga Rohana Ismail, 54, dari Taman Guchil Jaya, Kuala Krai, pasrah dengan berita pemergian mangsa yang disahkan meninggal dunia selepas dilaporkan hilang dalam insiden kren tumbang di Masjidilharam, Jumaat lalu.
Anaknya, Muhamad Hafizan Muhammad Noor, 26, berkata dia mengetahui berita sedih itu daripada ayahnya, Muhammad Noor Harun, 56, melalui panggilan telefon, 15 minit sebelum pengumuman rasmi mengenai penemuan mangsa yang maut akibat tragedi terbabit.
"Kami diberitahu bahawa ayah sudah mendapat berita itu sejak 8.30 malam tadi (waktu tempatan) selepas membuat pengecaman mayat di hospital di sana.
"Sejujurnya kami masih lagi dalam keadaan sedih dan sukar untuk menerima pemergian ibu memandangkan kami lima beradik sangat rapat dengan arwah sejak kecil sampai sekarang," katanya yang juga anak ketiga kepada mangsa ketika dihubungi.
Bagaimanapun, Muhamad Hafizan yang bekerja sebagai pereka set di Media Prima, Shah Alam akan mengingati pesanan ayahnya yang menyuruh mereka kuatkan semangat selain terima qada dan qadar pemergian ibunya itu walaupun pahit untuk ditelan. -KB Credit BH
0 ulasan:
Catat Ulasan