Datuk Siti Nurhaliza bongkar kisah 20 tahun



Selepas melancarkan album akustik Unplugged, rakaman konsert di Istana Budaya pada April lalu, penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza akan mengadakan persembahan muzikal mengisahkan perjalanan hidupnya sebagai anak seni.
Menurut penyanyi lagu Jaga Dia Untukku itu, konsert berkenaan berlangsung selama lapan hari di Istana Budaya pada November depan.
Bukan sekadar paparan kisah 20 tahun sebagai penyanyi, Siti juga akan mendedahkan sisi peribadinya dari zaman kanak-kanak hingga bergelar isteri.
“Selain menyanyi saya juga akan berlakon. Menerusi muzikal ini peminat boleh mengetahui lebih terperinci kehidupan saya sebagai insan biasa dan anak seni,” katanya.
Jelas Siti, dia masih mencari pelakon sesuai untuk membawa wataknya ketika kanak-kanak dan remaja.
“Sebelum ini, saya terfikir untuk ambil Elfira Loy melakonkan watak zaman remaja, tetapi dia sudah berhijab. Kenalah cari orang lain yang lebih sesuai,” katanya pada majlis pelancaran album akustik Unplugged, baru-baru ini.
Album itu memuatkan 18 lagu termasuk tiga bonus iaitu Menatap Dalam Mimpi, Engkau dan Mikraj Cinta.
Siti turut memaklumkan ada perancangan mengeluarkan album baru yang memuatkan pelbagai genre lagu.
“Album Unplugged ini menghimpunkan lagu hit saya sepanjang dua dekad.
“Selepas ini saya akan muncul dengan album yang memuatkan lagu Inggeris, pop, tradisional, jazz dan klasik.
“Konsep ini sudah lama saya fikirkan dan berharap ia dapat direalisasikan tidak lama lagi,” katanya.
Rindu lawat bazar Ramadan
Berkongsi mengenai sambutan Ramadan, Siti belum berkesempatan mengunjungi bazar untuk membeli juadah berbuka kerana sibuk.
“Risau juga diserbu peminat sekiranya ke bazar Ramadan dan pasti akan mengganggu pe­ngunjung lain.
“Ketika kecil dulu, saya selalu membantu ibu bapa berniaga di bazar. Memori manis itu masih segar diingatan dan kalau rindu saya akan tengok suasana bazar dari dalam kereta,” katanya.
Berkongsi kenangan menyambut Aidilfitri, Siti berkata, rumahnya di Pahang pasti sesak dengan kunjungan peminat setiap tahun.
“Tetamu datang dari pagi hingga lewat malam, malah pernah jam 1 pagi masih ada lagi yang bertandang.
“Sehari mencecah 3,000 tetamu sampaikan ada yang terpaksa menjamu selera di dapur kerana terlalu sesak. Keadaan itu masih kekal hingga kini,” katanya.
Mengulas perkembangan perniagaan kosmetik Simplysiti dan pakaian Kallista yang diusahakan, Siti mengakui ketidakstabilan ekonomi negara menjejaskan jualan. Ini kerana orang ramai makin cermat berbelanja dan hanya membeli apa yang dirasakan perlu.
“Keadaan ekonomi sekarang memberi kesan kepada semua peniaga. Mujur, undangan nyanyian masih sama seperti dulu.
“Saya sendiri pun berjimat dan fikir panjang sebelum beli sesuatu,” katanya.
Siti tidak ketinggalan memaklumkan terbabit dalam beberapa rakaman khas lebaran termasuk Romantika Raya terbitan Astro.
“Rakaman program itu dibuat di Turki dan penonton dapat melihat lokasi menarik yang saya serta suami kunjungi.
“Ini pengalaman pertama saya ke Turki. Kami berpeluang menjelajah Istanbul dan paling seronok dapat naik belon panas di Cappadocia,” katanya yang akan menunaikan umrah selama seminggu dan pulang ke tanah air sebelum Aidilfitri.-sumber

Share on Google Plus

About Kraiboys

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 ulasan:

Catat Ulasan