Polis menahan suami isteri berusia 26 dan 33 tahun petang semalam, bagi bantu siasatan kematian bayi perempuan mereka berusia 22 bulan yang disyaki didera selepas mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh ibunya di rumah mereka di Taman Padi Indah, Pulau Sebang, Alor Gajah, 5.30 petang Isnin lalu.
Difahamkan, pasangan itu ditahan di Hospital Tampin, Negeri Sembilan, ketika menunggu mayat bayi mereka dibedah siasat.
Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah Deputi Superintendan Razali Sabar berkata, selepas ditemui tidak sedarkan diri, ibu mangsa kemudian membawa bayi berkenaan ke Hospital Tampin dan mangsa kemudian disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
"Bedah siasat terhadap mayat mangsa mendapati ada dua kesan retak pada bahagian belakang tempurung kepala bayi itu.
"Selain itu, terdapat kesan lebam baru di dahi, hidung serta kesan lebam lama pada beberapa bahagian badan mangsa," katanya.
Razali berkata, ibu bapa mangsa ditahan reman selama seminggu bagi bantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-sumber
0 ulasan:
Catat Ulasan