Keadaan kesihatan penyampai radio Suria FM iaitu Deejay Lin masih belum stabil selepas ditahan enam hari di sebuah pusat perubatan Kuala Lumpur kerana disyaki menghidap demam denggi.
Pembantu Peribadinya, Tuan Auzan berkata, Deejay Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid, 39, dibawa ke hospital pada petang Jumaat lalu selepas mengadu sakit kepala dan demam teruk sejak Rabu lalu.
"Dia mula demam teruk pada malam Rabu dan diberi cuti sakit selama dua hari, namun suhu badan semakin meningkat dan dia mengadu sakit kepala.
"Pada malam Jumaat dia sepatutnya kerja, tetapi saya terus bawa dia ke hospital kerana demam semakin teruk dan doktor mengesyaki dia mungkin terkena denggi dan perlu ditahan untuk rawatan lanjut," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Rabu.
Dalam pada itu, katanya, buat masa ini dia masih mendapat rawatan lanjut di pusat perubatan berkenaan dan doktor mengambil contoh darah bagi memantau keadaan demam tersebut.
Sementara itu, Tuan Auzan berkata, doktor memberitahu Deejay Lin mungkin ditahan empat hari lagi bagi memastikan dia betul-betul pulih.
"Platlet darah masih rendah 10 bpl (billion perliter), kalau normal biasanya sekitar 150-450 bpl, manakala suhu badan juga masih 40 darjah. Tapi keadaan dia lebih baik daripada semalam kerana hari ini dia sudah boleh makan.
"Doktor juga beritahu dia mungkin ditahan empat hari lagi sehingga demamnya betul-betul pulih," ujarnya.
Selain itu, Tuan Auzan berkata, Deejay Lin turut berpesan agar peminat-peminatnya di rancangan Suria Cinta tidak terlalu bimbang dengan keadaan tersebut dan berharap mereka sentiasa mendoakan kesihatannya agar cepat pulih.
Buat masa ini juga, dia tidak menerima kunjungan tetamu bagi membolehkan mendapat rawatan dan rehat yang cukup.
"Ramai juga peminat-peminatnya yang bertanya dia ditahan di wad mana, tapi saya tidak beritahu kerana buat masa ini dia masih demam dan tidak menerima lawatan tetamu di hospital," ujarnya.
Sepanjang ketiadaan Deejay Lin, segmen Suria Cinta di Suria FM digantikan oleh deejay lain.-sumber
0 ulasan:
Catat Ulasan