Sayu : Hayalan deruman ekzos motosikalnya depan rumah petanda dia akan pergi buat selamanya -Ibu


Kemaman : “Makcik dengar deruman ekzos motosikalnya masuk ke pekarangan rumah waktu makcik sedang tengok TV sekitar jam 10 malam, namun lepas buka pintu tak ada orang pun. Tiba-tiba setengah jam kemudian makcik dapat panggilan telefon dari seorang pegawai polis, dia maklumkan Azman terlibat kemalangan dan meninggal dunia.”

Demikian kata Fatimah Othman, 58, ibu kepada jurukamera TV3, Nor Azman Jumahat, 41 yang maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya terbabas di Kilometer 156 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuantan.

Dalam nahas kira-kira jam 9 malam semalam, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada hampir seluruh anggota badan.



Fatimah berkata, pemergian Nor Azman yang merupakan anak sulung dari sembilan beradik adalah satu kehilangan besar buat mereka sekeluarga kerana pada arwahlah tempat mereka berpaut.

“Arwahlah yang tanggung perbelanjaan sekolah dan makan pakai semua lapan adiknya dari kecil sampai sekarang. Arwah tahu gaji ayahnya sebagai peneroka tak besar, jadi dialah yang banyak bantu keluarga.

“Banyak kali sebut arwah sebut sebelum ini yang dia tak nak tengok adik-adik hidup susah, dia nak adik-adiknya belajar tinggi dan sekarang perit jerihnya bantu keluarga dah nampak hasil sebab dua daripada adiknya sedang belajar di universiti dan kolej manakala adik bongsunya, Juamirul Faizul, 19, akan daftar masuk universiti pada awal tahun depan,” katanya sebak ketika dikunjungi Sinar Harian di rumahnya di Kampung Padang Lalang, Binjai, di sini, hari ini.

Jenazah Nor Azman selamat dikebumikan di kampung halaman bapanya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Binjai Tok Kapor kira-kira jam 10.30 pagi.

Kata Fatimah, kali terakhir dia bercakap dalam telefon dengan Allahyarham Nor Azman adalah pada Rabu lalu dan ketika itu anaknya itu memberitahu mahu pulang ke rumah mereka Felda Chini, Pahang pada Jumaat untuk menjenguk kedua-dua orang tuanya itu.

“Makcik dan pakcik, Jumahat Mohamad, 66, sebenarnya menetap di Felda Chini, apabila rasa bosan kami akan balik ke Kampung Padang Lalang, di sini, untuk ziarah saudara mara sebab kami tinggal berdua saja, anak-anak semua dah kerja dan belajar jauh-jauh.

“Waktu dia hubungi makcik itu, nada suaranya ceria macam biasa…sebab itulah makcik pengsan lepas dapat panggilan telefon yang memaklumkan arwah sudah tiada sebab dia ‘pergi’ secara mengejut seperti ini,” luahnya.

Allahyarham Nor Azman meninggalkan seorang balu, Rogayah Mohd Ali, 40, dan anak tunggal, Muhammad Razin Akmal Nor Azman, 13.

Berikutan masih terkejut dengan insiden duka itu, isteri Allahyarham yang juga seorang guru pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Sekilau, Kuantan berkeadaan lemah dan tidak dapat ditemu bual.


Share on Google Plus

About Kraiboys

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 ulasan:

Catat Ulasan