Baik Feeya Iskandar mahu pun Nurashid Wahab atau Rashid, mereka tidak pernah menyangka perkenalan pada Mei lalu itu bakal mengikat hati masing-masing.

Malah hubungan yang dijalin hampir tujuh bulan itu membawa kepada ikatan pertunangan apabila penyampai radio Sinar FM itu bakal bertunang dengan ahli perniagaan berusia 28 tahun itu pada 5 Disember ini.

DALAM hidup pemilik nama sebenar Nor Shafiza Iskandar Azizan atau lebih dikenali dengan panggilan Feeya ini memang tiada istilah berpura-pura kerana menganggap perkara itu tidak memberi manfaat kepada dirinya.





Malah gadis berusia 26 tahun ini juga merasakan tiada yang perlu dirahsiakan pada zaman serba moden ini, tambahan kecanggihan teknologi dan perkembangan media massa yang seringkali menjadi tempat khalayak berkongsi banyak perkara termasuk kisah peribadi.

Akui Feeya, dirinya juga bukan seorang yang hipokrit dan dia bertanggungjawab sepenuhnya dengan setiap perkongsian yang dilakukan di laman sosial.

“Sebelum berkongsi gambar di laman sosial, saya sudah memikirkan tentang baik atau buruknya.

“Begitu juga sewaktu kali pertama berkongsi gambar Rashid, awal-awal lagi saya sudah bersedia dengan penerimaan khalayak.

“Jadi apabila ada yang bertanya kepada saya tentang hubungan kami, saya tidak boleh berbohong. Sebab di laman sosial saya sudah pun berkongsi perkara tersebut.

“Buat apa saya mahu menafikan perkara tersebut kerana saya sendiri yang mendedahkan perkara itu sebelum ini,” katanya tentang prinsip tidak menyembunyikan kisah peribadi.

Biarpun ada pihak yang kurang senang melihat tindakannya yang seolah-olah terlalu beria-ia mendedahkan cerita peribadi, Feeya tidak terkesan.

Bahkan dia merasakan berhak untuk berkongsi rutin hariannya seperti yang dilakukan kebanyakan orang lain biarpun dia seorang yang dikenali ramai.

Bagi Feeya, dia tidak pernah merasakan profesion yang dipegang selama ini mengehadkan aktivitinya.

Sementelah tidak merasakan dirinya dalam kalangan orang popular, Feeya juga bebas untuk melakukan apa saja asalkan tidak melanggar syariat agama Islam dan batas-batas dalam lingkungan masyarakat Melayu.

“Saya boleh jadi segan sendiri jika tiba-tiba meletakkan diri dalam kalangan artis popular walaupun saya sedar bidang yang saya ceburi ini yang meletakkan diri saya di tempat tersebut.

“Saya lebih senang menjadi diri sendiri dan mudah didekati."Saya sendiri tidak selesa untuk meletakkan jurang tertentu,” ujarnya lagi. SELAMAT BERTUNANG CIK PIAH DAN RASHID -Utusan